top of page
Search

Selangor umum RM400 juta Pakej Rangsangan Selangor Prihatin

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Amirudin Shari hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 bernilai RM272.5 selepas Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 1.0 bernilai RM127.8 juta.


Peruntukan sebanyak RM400 juta itu untuk menangani impak wabak Covid-19 di Selangor.

“Saya optimistik, Selangor dan Malaysia akan berjaya. Kita akan berjaya mengharungi cabaran-cabaran ini sebagaimana kita berjaya melepasi tentangan-tentangan sebelum ini,” katanya dalam sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, hari ini.

Amirudin berkata, menerusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0, kerajaan Selangor bersetuju untuk menubuhkan Tabung Khas Bantuan Covid-19 Selangor.



Ia bermula dengan potongan gaji menteri besar, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ahli Dewan Negeri serta anak syarikat kerajaan negeri yang menjangka jumlah RM8.07 juta.

“Untuk menteri besar dan exco, pemotongan sebanyak 50% daripada gaji, Adun 30%, kakitangan kerajaan Jusa C dan ke atas adalah 30%, jawatan tertinggi GLC pula adalah sebanyak 30%.


“Bagi pegawai kerajaan Gred 44 hingga 54, mereka digalakkan menderma kepada tabung Covid-19 negeri antara RM50 hingga RM100,” katanya.

Selain itu, turut diadakan adalah saringan Covid-19 atau “mass test” di kawasan “hotspot” atau “red zone” yang dikenal pasti di Selangor dengan sasaran sebanyak 5,000 orang dengan kos RM1.35 juta.


“Sejumlah RM1.344 juta diperuntukkan sebagai bantuan makanan percuma kepada barisan hadapan pegawai perubatan yang terdiri daripada doktor, jururawat dan petugas di hospital di negeri Selangor sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Pada masa sama, kerajaan negeri juga akan memberikan Insentif Penjagaan Anak-anak Frontliner kepada 2,500 keluarga dengan jumlah sebanyak RM1.5 juta.


“Tidak dilupakan juga kepada barisan hadapan media dan akhbar yang bertungkus-lumus menyampaikan fakta dan maklumat kepada rakyat.

“Bahkan, untuk menghargai petugas media dan petugas keselamatan, sebanyak RM100,000 akan dibelanjakan untuk menyediakan makanan percuma kepada mereka,” katanya.

Amirudin berkata, kerajaan bersetuju membelanjakan sebanyak RM2 juta bagi membekalkan topeng, pensanitasi dan sarung tangan. Ia bagi memastikan kesihatan rakyat Selangor terjamin.


“Sebanyak RM3 juta untuk operasi stesen kuarantin negeri Selangor yang beroperasi untuk penempatan Person Under Surveillance bagi kluster tabligh dan ketibaan dari luar negara,” katanya. Jelasnya, kerajaan Selangor turut bersetuju menambah baik Skim Peduli Sihat kepada rakyat Selangor dengan memperuntukkan sebanyak RM RM42.5 juta, yang dijangka akan memberi manfaat kepada 85,000 penerima.


“Kerajaan negeri juga amat prihatin dengan pesakit yang positif Covid-19. Untuk tujuan ini sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada mereka yang terkena virus ini.

“Bahkan, RM1 juta akan dibelanjakan untuk memberi perkhidmatan kaunseling dan pakar untuk kesihatan mental melalui kelas interaktif,” katanya.

Amirudin berkata, bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan, seramai 5,000 petani dan nelayan akan diberikan bantuan khusus Agroprenuer dengan jumlah peruntukan RM500,000.


“Seramai 2,000 petani, penternak dan nelayan akan dibantu dari segi input benih, ternakan, peralatan serta bahan mentah dengan peruntukan RM1 juta.


“Selangor Agro Market yang saya umumkan pada minggu lalu bertujuan menyediakan bekalan makanan segar kepada 300,000 penduduk di Selangor dengan peruntukan RM1 juta,” katanya.


Manakala, sebanyak RM100.7 juta diperuntukkan bagi memacu ekonomi negeri melalui digitalisasi, supaya ekonomi negeri dapat mencipta peluang pekerjaan baru serta menjaga pekerjaan yang sedia ada.


“Sebagai usaha memudahcara urusan pembayaran cukai tanah, tempoh bayaran cukai tanah dan cukai petak dilanjutkan sehingga 31 Julai 2020.

Manakala, tempoh bayaran premium dilanjutkan selama 1 bulan bagi tempoh pelaksanaan PKP. Usaha ini memakan belanja sebanyak RM87.81 juta.

345 views
bottom of page